Projek kami

From Meta, a Wikimedia project coordination wiki
This page is a translated version of the page Our projects and the translation is 100% complete.

Projek kami adalah teras kepada gerakan Wikimedia. Semua projek utama Pertubuhan Wikimedia dibangunkan secara bersama oleh pengguna di seluruh dunia menggunakan aplikasi MediaWiki. Semua sumbangan adalah dikeluarkan di bawah lesen Creative Commons percuma, bermakna kesemua kandungan projek boleh digunakan, disunting, disalin dan diedarkan secara bebas, tertakluk kepada terma lesen tersebut. Anda boleh melihat senarai penuh projek Wikimedia.

Harap maklum: walaupun laman lain menggunakan aplikasi MediaWiki (selalunya ia memiliki paparan yang serupa) atau menggunakan nama yang mengandungi awalan "Wiki-" atau akhiran "-pedia", hanya projek yang disenaraikan di bawah ini adalah sebahagian daripada Pertubuhan Wikimedia.

Wikipedia

Wikipedia ialah projek yang membangunkan ensiklopedia percuma dalam semua bahasa di dunia. Hampir kesemua orang yang memiliki akses Internet bebas untuk membantu dengan menyumbang informasi yang bersikap neutral dan maklumat yang mempunyai rujukan.

Wikipedia bermula pada Januari 2001, dan pada masa ini menawarkan lebih daripada 40 juta artikel yang ditulis dalam 293 jenis bahasa. Wikipedia terbesar ialah dalam bahasa Inggeris, dengan lebih daripada 6 juta artikel; diikuti dengan bahasa-bahasa utama lain seperti Sweden, Jerman, Belanda, Perancis, Rusia, Italia, Sepanyol, Poland, Vietnam, Jepun, Portugal dan Cina, di mana masing-masing mengandungi lebih daripada 800,000 artikel. Lebih daripada 50 jenis bahasa mengandungi 100,000 artikel, dan lebih daripada 220 jenis bahasa lain mengandungi 1,000 artikel.

Wikikamus

Wiktionary (Wikikamus) ialah projek yang membangunkan kamus bebas dalam pelbagai bahasa. Dalam erti kata lain, projek ini memerlukan setiap perkataan diterjemah dalam kesemua bahasa yang ada. Matlamat projek ini juga tidak hanya sekadar kamus yang biasa, namun termasuklah tesaurus, ritma, terjemahan, sebutan audio, etimologi dan petikan. Projek ini bermula pada bulan Disember 2002, dan setakat Jun 2016 ianya tersedia lebih daripada 170 jenis bahasa dengan lebih daripada 25,000,000 entri kesemuanya. Edisi bahasa terbesar ialah bahasa Inggeris, dengan 4,733,000 entri. Diikuti dengan bahasa Malagasi, Perancis, Serbo-Crotia, Sepanyol, Cina, Rusia dan Lithuania. Kesemua tujuh bahasa ini mengandungi lebih daripada 600,000 entri setiap satu, kemudian terdapat 41 jenis bahasa lain mengandungi lebih daripada 100 ribu entri setiap satu. Secara keseluruhannya, sebanyak 116 jenis bahasa mengandungi sekurang-kurangnya 1,000 entri.

Wikikamus digerakkan secara bekerja sama dengan Wikimedia Commons. Banyak fail suara yang mengandungi contoh sebutan disediakan untuk Wikikamus dan projek lain.

Wikiquote

Wikiquote (Wikipetikan) ialah koleksi petikan yang diambil daripada orang perseorangan terkenal, buku, ucapan, filem atau dari mana-mana bahan menarik yang berintelektual. Peribahasa, mnemonik atau slogan juga dimasukkan dalam Wikipetikan. Projek ini bermula pada bulan Julai 2003.

Setakat November 2016, terdapat lebih daripada 183,000 entri dalam 89 jenis bahasa dalam projek Wikipetikan, dengan 10 jenis bahasa Wikipetikan mengandungi lebih daripada 5,000 entri.

Wikibuku

Wikibooks (Wikibuku) bertujuan untuk membangunkan koleksi sumber e-buku percuma, termasuklah buku teks, sumber kursus bahasa, manual dan buku melalui sumber domain awam beranotasi. Matlamat projek ini adalah untuk membantu pengajaran dan pembelajaran pelajar dan pensyarah atau guru di sekolah menengah dan universiti.

Setakat Jun 2016, Wikibuku terbesar adalah dalam bahasa Inggeris, dengan lebih daripada 54,000 modul dalam lebih 2,800 buku yang sedang dibangunkan. Diikuti dengan Bahasa Jerman, Hungary dan Perancis, setiap satu daripadanya mengandungi lebih daripada 15,000 modul. Projek ini bermula pada bulan Julai 2003 dan kini terdapat lebih daripada 229,000 modul daripada lebih 5,000 buku yang sedang dibangunkan, dalam lebih dari 120 jenis bahasa.

Wikibuku juga menyediakan bahan untuk kanak-kanak, menerusi Wikijunior.

Wikisumber

Wikisource (Wikisumber) ialah projek berbilang bahasa, bermula pada bulan November 2003, untuk mengarkib koleksi kandungan teks bebas dan terbuka. Ianya bukan sahaja menyimpan bahan klasik, undang-undang, dan karya bebas lain sebagai hiperteks, tetapi juga bertindak sebagai asas untuk diterjemahkan dalam bahasa lain. Pada mulanya, sumber teks dalam kesemua bahasa (kecuali bahasa Ibrani) diletakkan dalam satu wiki. Namun begitu, Wikisumber kini memiliki beberapa edisi dalam pelbagai bahasa.

Setakat Jun 2016, Wikisumber menawarkan sebanyak 2,900,000 koleksi sumber teks secara keseluruhan. Wikisumber bahasa Inggeris adalah paling terbesar, dengan lebih daripada 579,000 bahan. Kemudian bahasa Poland, Jerman, Rusia, Perancis, Ibrani dan Cina dengan masing-masingnya mengandungi lebih daripada 120,000 sumber teks.

Wikispesies

Wikispecies (Wikispesis) ialah projek terbuka dan berdasarkan kepada wiki yang menawarkan pangkalan data mengenai informasi spesis yang lebih meluas bagi tujuan taksonomi. Ia meliputi spesis haiwan hidup atau fosil, tumbuhan, kulat-kulat, bakteria, mikroorganisma, Protis dan jenis hidupan yang lain. Dilancarkan pada 14 September 2004, Wikispesis ditujukan khas untuk penggunaan pengguna sains, dan setakat Julai 2016, terdapat lebih daripada 480,000 entri. Terdapat rancangan untuk membantu Wikispesis bekerjasama dengan projek Encyclopedia of Life apabila pengumuman lanjut diumumkan.

Wikiberita

Projek Wikinews (Wikiberita) dilancarkan pada bulan Disember 2004 dengan misi untuk melaporkan berita mengenai pelbagai subjek. Penyumbang dari seluruh dunia menulis artikel mengenai berita secara bersama. Laporan boleh meliputi daripada pelaporan asal dan wawancara sehinggalah ringkasan berita dari sumber luar. Kesemua laporan perlu ditulis dari sudut pandangan neutral.

Tidak seperti projek Wikimedia lain, Wikiberita dilesenkan di bawah Creative Commons Attribution 2.5 berbanding Creative Commons Attribution-Share Alike 3.0.

Pada masa ini, Wikiberita mempunyai dua matlamat: menyediakan sumber alternatif bebas selain laman berita komersial dan memastikan artikel telah diperiksa dan disemak secara teliti.

Wikiversiti

Wikiversity ialah projek khusus berkaitan dengan bahan pembelajaran dan komuniti disebaliknya, serta penyelidikan. Ianya telah ditubuhkan sebagai projek Wikimedia (dalam fasa beta) pada 15 Ogos 2006 dengan penerbitan Wikiversity bahasa Inggeris dan Jerman, serta hub koordinasi kepelbagaian bahasa. Walaupun menggunakan nama yang lebih kurang sama, bahan yang terdapat dalam Wikiversity tidak semestinya terhad untuk peringkat universiti (atau pendidikan tahap tinggi), tetapi ianya terbuka menerima bahan dari kesemua tahap pendidikan. Ini membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran boleh diteruskan walaupun masih lagi memerlukan lebih kajian, namun ianya memfokuskan kepada model "pembelajaran amali" atau "pembelajaran melalui pengalaman".

Setakat Jun 2016, terdapat lebih daripada 85,300 entri mengenai bahan pembelajaran dalam 16 jenis bahasa. Bahasa Jerman mengandungi lebih daripada 31,600 dan kedua-dua bahasa Inggeris dan Perancis mengandungi lebih daripada 10,000 entri.

Wikilayar

Wikivoyage(Wikikembara) bertujuan untuk membangunkan panduan perjalanan terbesar dunia yang menyeluruh, percuma dan terkini. Wikikembara dilancarkan pada bulan Januari 2013 dan ditulis oleh penyumbang yang ingin berkongsi ilmu yang boleh membuatkan perjalanan seseorang lebih menyeronokkan. Projek ini bermula pada bulan Disember 2006 sebagai cabang daripada laman bahasa Jerman yang dipanggil Wikitravel, dan menyertai projek di bawah Pertubuhan Wikimedia sebagai beta dengan 80,000 artikel dalam tujuh bahasa. Wikikembara kini tersedia dalam 21 jenis bahasa.

Wikimedia Commons

Wikimedia Commons telah dilancarkan pada bulan September 2004 sebagai repositori pusat untuk foto, diagram, peta, video, animasi, muzik, bunyi, teks percakapan, dan media bebas lain. Ianya projek berbilang bahasa dengan penyumbang dari pelbagai bahasa, yang berfungsi sebagai repositori pusat untuk kesemua projek Wikimedia.

Projek ini berkembang dengan pesatnya. Pada bulan Disember 2012, ianya mencecah 15 juta fail multimedia, kemudian melepasi angka 30 juta pada bulan Januari 2016. Wikimedia Commons menerima pengiktirafan menerusi Komuniti Digital dalam acara Prix Ars Electronica 2005.

Projek ini mempunyai tiga mekanisma yang akan memaparkan sumbangan berkualiti tinggi hasil dorongan komuniti. Gambar pilihan memaparkan gambar yang paling terbaik, dan Gambar berkualiti, yang mengiktiraf gambar dengan komposisi menarik dipilih oleh penyunting Wikimedia. Sejak tahun 2006, pertandingan Gambar tahunan terbaik telah dijalankan, di mana komuniti Wikimedia yang meluas telah dijemput untuk berkongsi kandungan gambar bebas yang memberi inspirasi. Dua laman, Kenali jurugambar kita dan Kenali pelukis kita, mempamerkan beberapa penyumbang berkemahiran tinggi yang memilih untuk menggunakan lesen kandungan bebas dan menyumbang karya mereka kepada Wikimedia Commons.

Wikidata

Wikidata dilancarkan pada bulan Oktober 2012 bertujuan untuk membangunkan pangkalan data informasi bebas seluruh dunia yang boleh dibaca dan disunting oleh manusia dan mesin. Ia menawarkan data dalam kesemua bahasa bagi projek Wikimedia, dan membolehkan akses berpusat untuk data sepertimana yang dilakukan oleh Wikimedia Commons untuk fail multimedia.

Data yang terdapat dalam Wikidata dilesenkan di bawah Lesen Creative Commons CC0 bagi membolehkan pengguna pihak ketiga menggunakan data secara bebas tanpa sekatan, tidak seperti projek Wikimedia lain.

Wikifunctions

Wikifunctions (Wikifungsi) telah dilancarkan pada bulan Ogos 2023 dan menyimpan fungsi aturcara yang boleh digunakan untuk aplikasi seperti Abstract Wikipedia.

MediaWiki

Komuniti sumber terbuka MediaWiki menyelenggara beberapa aplikasi projek. Enjin MediaWiki digunakan oleh kesemua projek Wikimedia dan laman lain. Fungsi asasnya boleh dikembangkan melalui sambungan, pelangganan, dan aplikasi mudah alih. Pembangun boleh menggunakan API MediaWiki untuk membangunkan aplikasi yang berinteraksi dengan laman seperti Wikipedia. MediaWiki mengalu-alukan sukarelawan teknikal bagi pembangunan, pengujian, pentadbiran sistem, dokumen, reka bentuk dan promosi.

Meta-Wiki

Meta-Wiki ialah projek yang digunakan sebagai hub pusat bagi pelbagai tugasan berkaitan koordinasi dan organisasi, seperti perbincangan yang melibatkan beberapa wiki atau merancang acara seterusnya. Ianya telah digunakan untuk pelbagai tujuan, dari pendokumentasian falsafah wiki sehinggalah penghantaran cadangan geran. Kegunaan lain Meta termasuklah "Cadangan bahasa baru" dan sebagai aktiviti berpusat awam untuk pengelola dan juga beberapa perbincangan berkaitan pengumpulan dana.

Wikimedia Pengeram

Wikimedia Pengeram ialah wiki yang digunakan bagi membangunkan wiki baru. Dalam erti kata lain, di sini merupakan penciptaan edisi baru kandungan Wikimedia (Wikipedia, Wikikamus, dan lain-lain) diwujudkan sebelum dilepaskan kepada sub-domain seperti en.wikipedia.org atau ms.wikipedia.org. Setiap wiki yang dicipta di sini dipanggil sebagai "wiki ujian", dan dikenal pasti dengan menggunakan kod projek tersebut (sebagai contoh "Wp" adalah untuk Wikipedia) dan juga kod ISO 639. Sebagai contoh, Wikipedia bahasa Votik diinkubasi sebagai Wp/vot. Sila ambil perhatian bahawa Wikisumber dan Wikiversity memiliki "inkubator" berasingan, www.wikisource.org dan Beta Wikiversity. Seperti juga Meta, Commons, dan Wikidata, projek ini mempunyai matlamat berkaitan dengan penterjemahan kepada pelbagai bahasa.

Wikimedia Cloud Services

Wikimedia Cloud Services (WMCS) ialah ekosistem pengkomputeran fleksibel yang dibina menerusi OpenStack, GridEngine, dan Kubernetes. Projek ini memperkasakan sumbangan teknikal kepada dunia aplikasi Wikimedia. Produk dan sumber projek WMCS adalah tersedia digunakan oleh semua yang terkait dengan gerakan Wikimedia. Sokongan dan pentadbiran sumber WMCS disediakan oleh kumpulan Wikimedia Foundation dan sukarelawan gerakan Wikimedia. Wikitech ialah laman untuk dokumen teknikal dalaman infrastruktur Wikimedia, dan ianya tersambung kepada projek Wikimedia Cloud Services.